Sekadar berkongsi « Without Fear or Favor.






Tuesday, June 30, 2009

Sekadar berkongsi

 

                                       

 

 

Assalamualaikum tuan, sila duduk”  Kata B menyambut ketibaanku sambil tangannya menunjukkan kearah tempat duduk ku.

 

Suasana kedai makan yang terletak di Bangi itu agak riuh dan kecoh. Kedai ini katanya amat terkenal dengan masakan tengahhari yang pelbagai dan menyelerakan. Meja-meja di kedai makan itu seperti petang-petang yang lain dipenuhi dengan pelanggan yang sedang enak menjamu selera dan ada juga yang hanya sekadar memesan segelas air untuk dijadikan modal bersembang. Meja yang kami duduki itu pula terletak agak tersorok dan sedikit jauh dari meja-meja yang lain. Hal ini bagi memberikan sedikit privasi kepada kami untuk berbincang dan terhindar dari hirup pikuk bunyi pelanggan yang sedang menjamu selera di restoren yang dicat dengan warna coklat gelap itu.

 

B membetulkan kerusinya dan seolah-olah telah bersedia untuk memulakan bicaranya.

 

“ Macammana tuan?” B memulakan bicaranya.

 

Cuba ceritakan apa yang berlaku” Aku memulakan sesiku dengan pertanyaan juga. Sememangnya aku lazim memulakan sesi temubualku dengan banyak bertanyakan soalan dan kurang memberi komen dan cadangan. Aku perlu tahu keseluruhan cerita sebelum aku boleh memberi cadangan penyelesaian dan tindangan yang perlu di lakukan.

 

B merupakan seorang pemuda di dalam usia awal 30-an. Orangnya agak kacak dan bergaya namun mempunyai masalah kerjaya. Dia berkahwin dengan L sepuluh tahun yang lalu dan mempunyai dua orang anak. Oleh kerana keadaan kewangannya yang tidak stabil  B selalu bertengkar dengan pasangannya yang merupakan seorang yang lebih berada berbanding dengan B. Dalam  satu insiden pertengkaran, B secara tidak sengaja telah terlafazkan talak kepada isterinya.

 

Dan entah kenapa keterlanjurannya itu menjadi sebab untuk si isteri menghukumnya dengan hukuman yang amat pedih. Hukuman yang tidak pernah dibayangkannya ketika mereka berakad dan berjanji setia dulu. Kes tersebut telah pun selesai diputuskan di Mahkamah Syariah.

 

“Saya telah berjumpa dengan isteri kamu” kata saya selepas B habis bercerita.

 

“ Ye, apa katanya” Tanya B dengan penuh semangat. Dari air mukanya dia seolah-olah mengharapkan satu berita gembira daripadaku.

 

“Dia tidak bersetuju dengan permohonan kamu” kata-kataku itu menyebabkan air mukanya berubah. Tergambar kekecewaan yang teramat sangat di wajahnya. Mukanya kembali suram dan pandangannya dilontarkan ke luar, mencari ketenangan dan kekuatan barangkali.

 

Bukan B tidak berusaha untuk memujuk dan memperbaiki keadaan, bahkan telah bermacam-macam cara yang dilakukan untuk memenangi semula hati bekas isterinya itu. Namun sia-sia. Hati wanita itu sudah tertutup buatnya.

 

Aku memandang B dengan pandangan kosong.

 

Melihatkan keadaanya pada ketika itu, ingin sahaja aku katakan kepada B, tiada gunakan kamu menyiksa diri sebegini. Tiada apa yang kamu dapat, kerana hakikatnya tiada orang yang sebenarnya benar-benar pedulikan kamu kecuali kamu sendiri. Oleh itu tidak berbaloi untuk kamu menyiksa diri dengan harapan dia akan kembali.

 

“Saya sangat menyintainya tuan”  Sambung B dalam sebak selepas lama menyepi.

 

“Kamu sepatutnya melafazkan ini dulu, bukan sekarang”, balasku dengan lembut namun seolah-olah menitiskan limau di atas luka yang sedang berdarah. B kembali terdiam.

 

Suasana sepi kembali. Hanya bunyi kipas yang berputar ligat di atas kepala kami sahaja yang melatari kesunyian tersebut.

 

“ Saya betul-betul menyesal, baru saya sedar yang saya amat-amat menyayanginya” B meluahkan perasaannya dengan matanya memandang ke arahku. Aku mencapai teh tarik yang telah sedari tadi terhidang di atas meja. 

 

“Baguslah kalau kamu dah menyesal dan ingin berubah” aku berhenti seketika dan memandang kearah B yang sudah tidak keruan itu, tidak sabar gaya untuk mendengar apakah bulas utirnya hujahanku.

 

“Mulakanlah hidup baru dan kalau benar kamu menyayanginya biarkanlah dia berbahagia dengan kehidupan barunya”. Hanya itu yang termampu aku katakan. Kerana si isteri nampaknya benar-benar telah berkerat rotan untuk tidak bersama dengan B lagi.

 

“Tuan apa tahu. Saya yang merasakannya” Getaran suaranya begitu jelas sekali, B sedang berjuang dengan perasaannya sendiri. Gelora di dalam jiwanya boleh sahaja melimpah ke empangan mata. Dia masih cuba menyengka air mata yang bergenang di kelopak matanya.

 

Suasana sepi kembali. Aku menghirup minuman kegemaran ku itu yang masih berbaki.

 

“B” kataku dalam nada yang lebih mesra. B masih menahan air mata. Bibirnya diketam tanda dirnya benar-benar berusaha untuk menahan empangannya dari pecah.

 

“Cinta itu tidak semestinya memiliki”  B terkedu, dan air matanya masih lagi bergenang di kelopak matanya.

 

“Berhentilah dari menyiksa diri kamu dengan menyalahkan diri dan terimalah takdir dengan lapang dada” Aku menyambung bicaraku. B masih diam.

 

“Buktikan cinta kamu itu dengan cara kamu berubah dan memperbaiki diri, tiada orang yang hendak kepada kamu kalau kamu tidak punya apa-apa” B masih tunduk dan bermain-main dengan gelas minumannya.

 

“ Orang hanya akan hargai kamu kalau kamu menghargai diri kamu sendiri, hanya pada ketika itu nilai kamu akan lebih dipandang tinggi oleh orang lain.  Lakukan untuk diri kamu B, bukan untuk orang lain” Boleh jadi aku sudah naik ‘sheikh’, aku seakan telah tertranformer menjadi seorang kaunselor.

 

“Tak perlu lupakan dia, jadikan kenangan itu satu satu pengajaran, sekurang-kurangnya dia pernah mengajar kamu tentang sesuatu.” Aku berhenti seketika dan memandang kearah B.

 

Aku telah mencuba untuk membantu sedayanya. Namun kekadang kemahiran ku juga terbatas dan dalam banyak keadaan emosi terlalu melatari dan mendominasi perbincangan dan proses yang dijalankan, apabila emosi berleluasa rasionaliti akan terperesok. Dan jadilah yang secupak itu akan jadi bergantang. Sebenarnya aku merasakan teramat rugi sekiranya pasangan muda seperti mereka ini terpaksa menjalani hidup yang sebegini, kasian kepada anak-anak mereka. Dalam aku membantu aku perlu bersikap praktikal, apa yang secara logiknya sudah tidak boleh diteruskan jangan dipaksa untuk diteruskan ia akan membawa binasa.

 

“ Jadi apa yang harus saya buat tuan” pelahan suara B mencari kekuatan dan jalan keluar dari kemelut ini.

 

“Berubah dan jadikanlah diri kamu seseorang dengan melakukan yang terbaik untuk diri kamu, Allah tidak mengubah sesuatu kaum itu sehinggalah mereka mengubah apa yang ada di dalam diri mereka”.

 

B tersenyum tawar.

 

Dengan suara yang perlahan aku katakan kepada B “Meminta biarlah pada yang ada, merayu biar pada yang sudi, menyinta pada yang kasih, boleh jadi bukan jodoh kamu di dunia maka berdoalah agar dia menjadi jodoh kamu di akhirat. Kembalilah kepada Islam”.

 

Petang itu, aku memberikan khidmat kaunseling percuma. Sesi yang bermula agak tegang berakhir dengan keceriaan yang mula menyinsing di wajah B.

 

*Diadaptasi..

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Posted at 06:55 pm by ammu_khalah

mama
July 6, 2009   12:09 PM PDT
 
"saya sangat suka dgn persembahan mereka" komen ala-ala wira dan wirawati negara.
encik B perlu terus melangkah, tetapkan "siling" utk merasa frustrate dan luahkan segalanya. Selebihnya, he needs to move forward. Tapi, tentu tak semudah itukan?
Encik peguam tentu lebih faham selok belok clientnya right?
 

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments




Previous Entry Home Next Entry

Blogdrive